search

I WOULD LIKE TO

PC
Program Cambridge Summer School tangani gangguan utama dalam dunia perbankan
SHARE
Program Cambridge Summer School tangani gangguan utama dalam dunia perbankan
Source: Bernama.com, 19 April 2017
KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) – Program utama Asian Banking School (ABS), Cambridge Summer School, dilancarkan pada Selasa di sini oleh Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Muhammad Ibrahim.

Program kerjasama dengan Judge Business School, University of Cambridge itu merupakan yang kedua bagi siri utama ABS selepas Program Global Banking Leaders dengan Cass Business School di London tahun lepas.

Ia akan dijalankan di sebuah kolej universiti itu, Trinity Hall, antara kolej tercantik dan tertua pusat pengajian terkemuka tersebut, dan peserta program akan menetap di kampus untuk menikmati pengalaman Cambridge sepenuhnya, menurut ABS dalam kenyataan hari ini.

Semasa ucapan pelancaran program itu, Muhammad berkata, peserta program akan menjadi sebahagian usaha penting tersebut yang akan memberi peluang besar bagi memperluaskan pengetahuan, pengalaman dan rangkaian.

University of Cambridge adalah sangat berprestij. Banyak idea oleh ilmuan dari institusi terkemuka ini telah mengubah keseluruhan profesion, pemahaman dan pemikiran.

Kita sewajarnya tidak boleh lupa bahwa pelaburan dalam modal insan juga membawa bermakna pelaburan untuk modal sosial masa hadapan. Kita perlu menyedari bahawa pelaburan dalam modal sosial juga mempunyai kesan jangka panjang, katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ABS, Prof. Colyn Gardner berkata, kerjasama dengan Cambridge itu membuktikan komitmen berterusan ABS untuk memberi peluang pembelajaran bertaraf dunia kepada industri.

Peserta program akan menjadi alumni Cambridge Judge Business School, yang merupakan satu penghormatan yang diiktiraf di seluruh dunia, katanya.

Tema bagi program Cambridge Summer School yang julung kali diadakan itu ialah Creating Resilience from Disruption in Today's Banks" yang akan menangani gangguan utama dalam dunia perbankan.

Program itu akan berlangsung pada minggu pertama Ogos, 2017.

– BERNAMA
PHOTO CAPTION
Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Muhammad Ibrahim berucap pada majlis pelancaran program Cambridge Summer School.

Copyright © Asian Banking School (ABS). All rights reserved.

 CONNECT WITH US

Ooops!
Generic Popup