search

I WOULD LIKE TO

SA
Siaran Akhbar – Jalinan UOB Malaysia dan Asian Banking School lancar program penarafan eksekutif pegawai bank PKS pertama industri kewangan
SHARE
Siaran Akhbar – Jalinan UOB Malaysia dan Asian Banking School lancar program penarafan eksekutif pegawai bank PKS pertama industri kewangan
EMBARGO
For immediate release
VENUE
Asian Banking School, NU Tower 2, Kuala Lumpur
DATE
06 September 2016
Terbitan bersama: Asian Banking School & United Overseas Bank (Malaysia) Bhd
Jalinan UOB Malaysia dan Asian Banking School lancar program penarafan eksekutif pegawai bank PKS pertama industri kewangan

Kuala Lumpur, 6 September 2016 – United Overseas Bank (Malaysia) Bhd (UOB Malaysia) telah menjalin usaha sama dengan Asian Banking School (ABS), sebuah institusi ahli gabungan Bank Negara Malaysia, untuk melancarkan program penarafan eksekutif yang pertama dalam industri kewangan yang dirancang khas untuk pegawai bank yang berurusan dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS)1 di Malaysia.

Apabila PKS Malaysia berkembang ke pasaran baru, mereka mungkin menghadapi cabaran seperti risiko perdagangan antarabangsa, memperoleh akses kepada pembiayaan bank atau menyesuaikan syarikat mereka dengan persekitaran perniagaan yang baru. Memandangkan kesulitan sebegini, program UOB-ABS SME Banking Executive Certificate akan menyediakan kemahiran pakar dan pengetahuan yang diperlukan untuk pegawai bank bagi memenuhi keperluan kewangan perniagaan kecil dan sederhana.

Program tiga bulan ini menggabungkan latihan dalam kelas yang berasaskan pengalaman dalam bidang kredit dan pengurusan risiko, model perniagaan PKS dan pengurusan pelanggan. Ini termasuk membangun kemahiran mantap dalam penyelesaian isu serta kerjasama yang akan membolehkan mereka membantu pelanggan menempuhi cabaran kewangan, justeru, menjalin hubungan jangka panjang dengan pelanggan. Setelah tamat program ini, pegawai Perbankan Perniagaan UOB Malaysia akan mempunyai pemahaman yang lebih mendalam mengenai ciri-ciri PKS, trend perniagaan serta cabaran yang dihadapi oleh syarikat-syarikat di Malaysia.

PKS merupakan teras ekonomi Malaysia, menyumbang 97 peratus daripada penubuhan perniagaan dan hampir satu pertiga keluaran dalam negara kasar2 di negara ini. Kebanyakan PKS Malaysia beroperasi dalam sektor perkhidmatan, perdagangan borong dan industri peruncitan. Memandangkan penyepaduan yang lebih besar dalam ekonomi serantau dan kemasukan lebih banyak produk asing ke pasaran Malaysia, terdapat keperluan yang semakin meningkat untuk syarikat-syarikat Malaysia melaksanakan pengembangan serantau bagi meneroka peluang di pasaran baru.

Menurut Encik Raymond Chui, Ketua Perbankan Perniagaan, UOB Malaysia, banyak syarikat PKS sedang mencari peluang rentas sempadan dan UOB Malaysia berada dalam kedudukan yang baik untuk membantu pelanggan memperluaskan jangkauan dan merealisasikan cita-cita pertumbuhan mereka. 

“Kami menjangka lebih ramai pelanggan PKS kami akan merebut peluang di luar negara dan meningkatkan jumlah eksport dan import mereka. Inisiatif rentas sempadan seperti Komuniti Ekonomi ASEAN, Perkongsian Trans-Pasifik, Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau dan ‘Belt and Road’ yang menggalakkan kesalinghubungan serantau menyediakan persekitaran bagi PKS untuk mara dan mengembangkan perniagaan mereka.

“PKS memerlukan pegawai bank dengan kemahiran pakar yang memahami keperluan menjalankan perniagaan merentasi sempadan, sama ada menguruskan risiko pertukaran asing atau menangani landskap kawal selia dalam pasaran berlainan. Tidak seperti syarikat-syarikat besar yang lazimnya mempunyai unit khusus untuk menumpu pada pertumbuhan dan pengembangan, PKS perlu mengimbangi pengurusan isu harian operasi tempatan sambil meninjau pembangunan masa depan mereka di luar negara. Memahami cabaran ini dan menyediakan penyelesaian sesuai yang praktikal dan tepat pada masanya adalah penting untuk perniagaan yang sedang berkembang,” kata Chui.

Ketua Pegawai Eksekutif ABS, Profesor Colyn Gardner berkata bahawa ABS berbesar hati dapat bekerjasama dengan UOB Malaysia untuk memperkenalkan program perintis ini kepada pegawai bank PKS.

“Program UOB-ABS SME Banking Executive Certificate ini dirancang untuk menyediakan peserta dengan pendekatan yang menyeluruh kepada pembelajaran. Program ini akan disampaikan oleh pasukan perunding latihan pakar dalaman kami yang masing-masing mempunyai pengalaman melebihi 30 tahun di beberapa bank antarabangsa yang terbesar di dunia. Latihan ini akan membolehkan peserta menimba ilmu pengetahuan melalui pendedahan kepada kajian kes semasa dan perbincangan panel dengan usahawan berjaya. UOB kini menetapkan taraf dalam industri dengan pelancaran program ini,” kata beliau.

Program UOB-ABS SME Banking Executive Certificate ini merupakan sebahagian daripada program pembangunan kerjaya UOB Malaysia untuk menggalakkan latihan dan pembangunan kemahiran yang berterusan di kalangan kakitangannya. Bank menjangka untuk melatih 100 pegawai bank PKS menjelang akhir 2017.


------------------------------------------------

1 SME Corporation Malaysia mentakrifkan PKS sebagai syarikat yang mempunyai jualan sebanyak RM50 juta dan ke bawah, atau yang mempunyai 200 kakitangan sepenuh masa dan ke bawah untuk sektor pembuatan. Untuk sektor perkhidmatan dan sektor lain, ia ditakrifkan sebagai syarikat yang mempunyai jualan tidak melebihi RM20 juta atau 75 kakitangan sepenuh masa dan ke bawah.
2 Sumber: Bank Negara Malaysia, Disember 2015

Copyright © Asian Banking School (ABS). All rights reserved.

 CONNECT WITH US

Ooops!
Generic Popup